Sunday, August 8, 2010

Kajian tindakan Geografi Sekolah Menengah

Sila lihat Jurnal asal daripada laman web :
http:www.smkbp.com/index.pnp/home/188-contoh-kajian-tindakan-guru-smk-bandar-putra

Penghargaan....

Setinggi kesyukuran di ucapkan ke hadrat Illahi kerana dengan limpah kurnianya, kami Khairul Bariah Binti Alimuddin dan Norisyah Binti Abdullah dapat menyiapkan Tugasan KPR 5063 dalam masa yang telah di tetapkan. Kami juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Pensyarah kami Prof. Madya Dr. Abdul Latif Bin Haji Gapor. Dengan tunjuk ajar beliau, kami berjaya juga meyiapkan tugasan yang telah di beri. Selain itu kami juga ingin berterima kasih kepada penyelidik iaitu Pn. Kamsiah Binti Mohd Ali kerana tanpa Kajian Tindakan beliau kami tidak mampu menyiapkan tugasan kami. Terima kasih juga di tujukan khas buat suami, anak-anak, ibu bapa dan keluarga yang telah banyak memberi dorangan dalam menjayakan tugasan ini. tidak lupa juga kepada rakan-rakan kuliah dan mereka yang terlibat secara langsung atau tidak dalam projek khas kami ini. Sekian terima kasih

ulasan kajian tindakan

Ulasan


Daripada karya asal oleh Pn. Kamsiah Binti Mohd Ali

Tajuk kajian tindakan yang di jalankan oleh Pn. Kamsiah Binti Mohd Ali ialah, meningkatkan kemahiran murid mengukur bearing dengan menggunakan kaedah main peranan dalam P&P bagi matapelajaran Geografi. Kajian ini telah dijalankan pada tahun 2007 oleh salah seorang tenaga pengajar di SMK Bandar Putra,Kulai Johor. Ia diambil daripada laman web http:www.smkbp.com/index.pnp/home/188-contoh-kajian-tindakan-guru-smk-bandar-putra bertarikh 23 Julai 2010. Untuk itu, kami cuba mengupas apa yang telah di lakukan oleh penyelidik dan memberi sedikit maklum balas penambahbaikkan untuk penggunaan semua di masa akan datang

Tujuan kajian ini dijalankan ialah, bagi meningkatkan kemahiran para pelajar tingkatan 2PK4 dalam mengukur bearing sudut dengan menggunakan kaedah “main peranan”. Masalah tersebut dikenalpasti setelah murid tidak dapat menentukan arah mata angin dengan betul seterusnya kurang jelas dalam membuat pengukuran bearing sudutan. Berdasarkan refleksi P&P yang lalu,sebilangan murid masih keliru dalam menentukan arah mata angin dengan betul terutamanya arah mata angin perantaraan. Mereka juga keliru untuk menentukan dari mana bearing itu perlu di ukur iaitu samada dari arah Utara mengikut pusingan jam atau sebaliknya. Hal ini menyebabkan mereka tidak dapat mengukur bearing dengan betul seterusnya menentukan kedudukan sesuatu tempat di atas peta dengan tepat.

Berdasarkan permasalahan tersebut, maka satu kajian tindakan telah dibuat berdasarkan refleksi P&P yang lalu. Melalui fokus kepada permasalahan ini,,didapati pendekatan kaedah “main peranan” dapat meningkatkan pemahaman murid dalam mengukur arah mata angin. Fokus kajian adalah di sasarkan kepada 10 orang murid yang diambil sebagai sampel daripada 29 orang murid kelas 2PK4. 10 orang murid tersebut adalah di antara pelajar yang lemah dalam pengukuran sudut atau bearing. Kaedah “main peranan” merupakan salah satu kaedah dalam kemahiran Belajar Cara Belajar yang melibatkan murid mengalami sendiri sesuatu situasi dan mereka dapat membayangkan diri mereka dalam sesuatu watak dan membuat modifikasi tingkah laku secara metakognitif terhadap peranan tersebut.

Objektif kajian ini dibahagikan kepada objektif am dan objektif khusus. Objektif am ialah membolehkan murid mengukur bearing sudutan dengan menggunakan protaktor dengan menggunakan langkah yang betul. Manakala objektif khusus bagi kajian tindakan ini pula ialah untuk meningkatkan kemahiran murid menentukan arah mata angin.Selain itu,ia juga dapat meningkatkan kemahiran murid menentukan titik rujukan untuk mengukur bearing dan seterusnya meningkatkan kemahiran murid mengukur bearing sudutan dengan tepat.

Bagi mengukur tahap pengetahuan murid,satu perlaksanaan kajian telah dibuat dimana kajian tersebut di bahagikan kepada tiga bahagian, iaitu ujian pra, aktiviti main peranan dan ujian pos.

Melalui ujian pra yang telah dijalankan keatas 29 orang murid kelas 2PK4 didapati 10 orang atau 34% daripada keseluruhan pelajar telah dikenalpasti lemah dalam bab arah iaitu pengukuran bearing. Oleh yang demikian 10 orang pelajar ini telah dijadikan sampel dan akan menjalani aktiviti “main peranan” bagi meningkatkan kemahiran mereka dalam pengukuran bearing sudutan.

Dengan itu,satu penyelidikan menggunakan instrument atau pendekatan ujian dijalankan di mana ianya terbahagi kepada 3 komponen utama. Komponen-komponen tersebut ialah bahagian A di mana murid diminta menentukan arah mata angin, bahagian B mengukur bearing mudah manakala bahagian C mengukur bearing berdasarkan peta lakar.

Analisis tinjauan awal mendapati, daripada ujian yang dijalankan didapati bahagian A, 72% murid menjawab soalan dengan betul manakala 28% memberikan jawapan yang salah. Bagi bahagian B pula, di dapati 66% berjaya menjawab dengan betul manakala selebihnya iaitu 34% memberikan jawapan yang salah dan pada bahagian C, peratusannya betul dan salah adalah sama seperti mana bahagian B. Melalui penyelidikan yang dilakukan melalui ujian pra,beberapa aktiviti telah dijalankan bagi memperbaiki kelemahan murid-murid tersebut.

Aktiviti pertama ialah menentukan arah mata angin di mana guru telah melukis 8 arah mata angin di atas Dataran Kejat manakala murid memainkan peranan sebagai arah mata angin. Murid telah diberikan kad yang mengandungi label arah mata angin dan kad tersebut akan dipamerkan apabila diarahkan oleh guru. Kad tersebut dilabelkan dengan arah Utara, Selatan, Timur, Barat, Barat laut, Barat daya dan Tenggara. Kaedahnya ialah, apabila guru menyebut arah selatan,maka murid yang murid akan mengingati apa yang dipelajari semasa aktiviti ini dijalankan.

Aktiviti kedua pula ialah,menentukan bearing sudutan. Dalam aktiviti ini murid-murid diminta menentukan dari arah mana bearing akan diukur. Adakah mengikut pusingan jam atau sebaliknya. Alat yang di gunakan dalam aktiviti ini ialah jangka sudut pospek yang telah dibina oleh guru. Jangka sudut ini merupakan jangka sudut yang dibina secara berlapis bagi memudahkan pengukuran sudut sehingga 360 darjah.Didalam kajian ini seramai 8 orang murid bertugas sebagai arah mata angin dan 2 orang lagi sebagai titik tengah dan pengukur sudut. Aktiviti di lakukan di mana guru meminta murid yang bertugas sebagai pengukur sudut mengukur sudut bagi arah Utara dengan menggunakan jangka sudut pospek. Manakala guru meminta murid-murid yang berperanan sebagai arah mata angin tadi bergerak mengikut arah pusingan jam.

Bagi aktiviti ketiga, fokus utamanya ialah menentukan titik rujukan. Aktiviti ini bertujuan meningkatkan kemahiran murid untuk menentukan titik rujukan bagi mengukur bearing sudutan. Sebelum aktiviti ini dijalankan, guru telah melukis 3 set point, Set 1 dan 2 – point X,Y dan Z dan Set 3 – W, X, Y dan Z di Dataran Kejat. Aktiviti ini dijalankan dalam satu waktu pengajaran. Dalam aktiviti ini, subjek sekali lagi dibawa ke Dataran Kejat untuk menjalani aktiviti main peranan. Murid dibahagikan kepada 3 kumpulan. Kumpulan 1 dan 2 terdiri daripada 3 orang murid dan Kumpulan 3 terdiri daripada 4 orang murid. Setiap ahli kumpulan memainkan peranan sebagai point-point yang telah dilukis oleh guru. Seterusnya, guru memberi penerangan ringkas bagaimana untuk menentukan titik rujukan dan membacakan arahan bagi bearing yang akan diukur. Contohnya, guru meminta murid mengukur bearing X dari Y. Murid yang berperanan sebagai Y akan mengangkat tangan. Begitulah seterusnya. Setelah selesai aktiviti ini, murid-murid diberi set soalan mengukur bearing yang melibatkan banyak titik rujukan. Berdasarkan soalan-soalan yang diberikan, murid-murid yang terlibat dapat menjawab soalan-soalan tersebut dengan betul. Dan dilihat pelajar begitu seronok menjalani aktiviti tersebut.

Setelah aktiviti main peranan di jalankan, satu ujian pos dijalankan kepada sampel murid dan mereka di kehendaki menjawab soalan-soalan tersebut dalam masa 15 minit. Dari pemerhatian dan penilaian yang dibuat daripada kajian yang dijalankan melalui ketiga-tiga aktiviti ini, di dapati semua murid dapat melakukannya dengan baik dan soalan yang diberi dapat dijawab dengan betul. Berdasarkan ujian pos yang dijalankan dan keputusan ujian pos yang di jalankan ke atas 10 orang murid tersebut, menunjukkan bahawa semua murid yang terlibat dapat menjawab soalan menentukan arah mata angin dengan betul. Manakala bagi soalan mengukur bearing mudah, hanya seorang murid sahaja yang tidak dapat menjawab soalan dengan betul semuanya iaitu Soalan 3 dan Soalan 4. Sementara itu pula bagi soalan mengukur bearing berdasarkan peta lakar, murid yang sama juga tidak dapat menjawab kelapan-lapan soalan tersebut dengan betul.

Berdasarkan dapatan kajian ini, jelas menunjukkan bahawa kaedah lapangan atau main peranan yang dijalankan sememangnya dapat meningkatkan kemahiran murid dalam mengukur bearing sudutan dengan tepat. Murid-murid yang terlibat seronok dengan aktiviti yang dijalankan berbanding kaedah penerangan atau tunjuk cara yang biasa digunakan. Berdasarkan ujian bulanan yang dijalankan, murid-murid juga dapat menjawab soalan-soalan menentukan kedudukan dan mengukur bearing dengan betul. Berlaku peningkatan dalam peratus kelulusan pelajar.

Walau bagaimanapun, terdapat sedikit kelemahan dalam kajian yang dijalankan. Dalam aktiviti 1, hanya 8 orang pelajar sahaja yang terlibat manakala 2 orang murid lagi hanya berperanan sebagai pemerhati. Diharapkan pada masa akan datang, semua murid mesti terlibat dalam aktiviti yang dijalankan. Masalah kedua adalah dari segi masa. Aktiviti ini memerlukan masa yang agak panjang dan lama, maka pengurusan masa amat dititikberatkan dalam menjalankan aktiviti ini.

Akhir sekali, kaedah main peranan adalah suatu kaedah yang mampu menarik minat pelajar dan dicadangkan pada masa akan datang, kaedah ini dapat dipraktikkan dalam pengajaran untuk topik ini tanpa mengira waktu tempatan bagi memantapkan pemahaman dan kemahiran murid-murid.

Melalui perbandingan kajian tindakan yang telah di lakukan oleh penyelidik dan model kajian tindakan Kemmis dan Mac Taggart 1988 di dapati penyelidik menggunakan kesemua item yang terkandung dalam model tersebut. Sila lihat rajah di bawah bagi menunjukkan kitaran sebenar atau proses kajian tindakan yang telah di lalui oleh Pn. Kamsiah binti Mohd Ali.



                              Rajah 1: Gelung Kajian Tindakan Kemmis & Mc Taggart,1988

Daripada Rajah 1, proses kajian tindakan bermula dengan guru menjalankan refleksi ke atas satu-satu isu pengajaran dan pembelajaran yang hendak ditangani. Untuk itu, penyelidik menjalankan pemerhatian terhadap matapelajaran Geografi. Kemudian penyelidik menjalankan ujian pra sebagai tindakan yang seterusnya. Melalui ujian pra tersebut,satu analisa telah di lakukan daripada pemerhatian di atas tindakan yang di ambil. Oleh yang demikian satu tindakan telah di lakukan dengan mengasingkan pelajar yang berjaya dan gagal melalui ujian pra itu tadi. Setelah itu penyelidik menyemak semula perancangan yang telah di lakukan. Keseluruhan pelaksanaan itu disifatkan sebagai Gelungan Pertama (Cycle 1). Pada Gelungan Kedua (Cycle 2) penyelidik menyediakan satu pelan yang sesuai untuk mengatasi masalah yang dihadapinya. Pada Gelungan Kedua juga penyelidik telah mendapat maklum balas daripada sampel murid yang menjalani kaedah main peranan. Hasil daripada kajian tindakan yang telah di lakukan ialah hampir kesemua sampel murid tadi mula menampakkan peningkatan dalam bab pengukuran arah. Mereka juga kelihatan seronok dalam pembelajaran tersebut.

Namun masih ada beberapa perkara yang harus di perbaiki untuk kebaikan pada masa akan datang. Terdapat beberapa kekurangan yang perlu di perbaiki dalam kajian tindakan yang telah di lakukan oleh Pn. Kamsiah Binti Mohd Ali. Antaranya ialah penyelidik perlu mewujudkan satu salinan bibliografi dan juga cadangan penambahbaikkan untuk kajiannya supaya ia dapat menjadi panduan pada masa hadapan.